JALI Software  since 1995 (c)                
HOME
COMPILER
DOWNLOAD
PRODUCTS

ENGINEERING
GUEST BOOK

TAZKIRAH
Aqidah
Hati dan Zikir
Amalan Ikhlas
EQ Thinking
Kisah Rasullullah
Kisah saidatina Fatimah

SAJAK
MyBlog

Aqidah Teras Kecemerlangan Dakwah - abdkadir @ 22:39 PST

Oleh : Ustaz Mohd Asri b. Yusuf.
Kubang Kerian,
Kelantan.

1. Terpilihnya Umat Islam dari antara umat-umat manusia dan teristimewanya mereka dari yang lain ialah kerana mereka mempunyai dua cirri utama kemajuan, kebahagiaan dan kecemerlangan manusia di dalam hidup ini iaitu aqidah dan dakwah.
Allah s.w.t. berfirman bermaksud :

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah daripada perkara mungkar dan kamu beriman kepada Allah, dan sekiranya ahlul kitab itu beriman (seperti kamu) tentulah itu lebih baik bagi mereka. Diantara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik." (Ali Imran : 110)

Di dalam ayat Allah menyatakan sebab kepada terpilihnya umat Islam itu iaitu mereka mempunyai aqidah yang diakui oleh Allah s.w.t. dan melaksanakan dakwah dengan menyuruh masyarakat melakukan perkara yang baik dan mencegah mereka dari perbuatan mungkar.

Kedua-dua cirri utama ini tidak ada pada mana-mana penganut agama-agama atau fahaman-fahaman yang lain selain Islam sehingga ahlul kitabpun yang sememangnya diketahui sebagai golongan yang mempunyai aqidah dan beragama tetapi tidak adanya konsep aqidah yang murni dan amar ma'ruf nahi `anil mungkar pada mereka itu, maka
Allah s.w.t. mengatakan :

"......jika mereka beriman seperti kamu, itu lebih baik bagi mereka......."

Ahlul kitab yang pernah dipuji oleh Allah s.w.t. juga mempunyai cirri-ciri yang disebutka tadi, Allah s.w.t. menyatakan tentang mereka di dalam firman yang bermaksud :

"Mereka beriman dengan Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang-orang yang soleh." (Ali Imran : 114)

2. Apakah yang soleh dan bersih daripada segala bentuk syirik dan bid'ah serta khurafat merupakan penentu kepada kejayaan dakwah kerana ia merupakan factor dalaman yang menggerakkan jentera dakwah itu. Ia juga merupakan asas yang kuat kepada orang-orang yang akan menegakkan amar makruf fan nahi `anil mungkar kerana ia akan mencetuskan :

i) Keikhlasan dan rasa tanggungjawab di dalam diri penganut-penganutnya. Ini tergambar pada keikhlasan para rasul yang menyampaikan ajaran Allah s.w.t. kepada manusia seperti yang disebutkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bernaksud :


"Aku tidak meminta apa-apa balasan daripada kamu, balasan ku hanya ada pada tuhan semesta alam."

ii) Memberi ketenangan dan kebahagiaan kepada seseorang di dalam melakukan apa sahaja amalannya kerana ia hanya mempunyai satu sahaja tuan atau tuhan yang dihadapkan segala amalan itu kepadanya, kerana tentu sekali orang yang mempunyai banyak tuhan akan berada dalam keadaan serba salah dan gelisah lantaran tuntutan atau perintah dan larangan tuan-tuan yang berbeza-beza itu dan seringkali bercanggah.

Perkara ini dapat dilihat di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Allah membuat perumpamaan iaitu seorang laki-laki (hamba) yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi dalam keadaan berselisih dan seorang lagi yang menjadi milik penuh bagi seorang laki-laki (sahaja). Adakah kedua-dua hamba itu sama halnya? Segala puju bagi Allah tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui." (az-Zumar : 29)

iii) Keyakinan bahawa merekalah golongan yang paling tinggi dan berbahagia kerrana memiliki kemerdekaan jiwa dan bimbingan serta tuntutan daripada tuhan dalam menjalani hidup mereka di dunia. Jesteru tidak mungkin seseorang yang memiliki aqidah Islam yang betul dan begitu mahal nilainya akan merasa terhina dan rendah diri. Ini dapat kita lihat pada jaminan Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud :

"Janganlah kamu bersikap lemah (hina diri) dan janganlah (pula) kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imran : 139)

iv) Aqidah Islam yang betul juga akan melahirkan keyakinan bahawa kejayaan dan kecemerlangan di dalam apa jua bidang tidak dapat dicapai oleh mereka dengan semata-mata berangan-angan dan berupa seperti orang-orang yang beriman bahkan ia, menunutut perlaksanaan tuntutan aqidah dan imannya.

Hal ini telah dinyatakan oleh Hasan al-Basri dalam kata-katanya yang bermaksud :

"Tidaklah iman itu dapat dicapai dengan hanya berangan-angan dan berupa seperti orang yang beriman, tetapi iman itu ialah sesuatu yang tetap di dalam hati dan dibuktikan oleh tindakan." (kitab al-Iman, hal. 117 - al-Hafidz Ibn Taimiyyah)

v) Ia juga memberi jaminan kepada setiap penganutnya bahawa segala amalan dan penah jerih, susah payah bahkan bencaana dan mala petaka yang menimpanya tidak hilang dengan sia-sia tanpa diberi sesuatu pahala dan ganjaran kepadanya apabila ia menghadapinya dengan penuh kesabaran. Ini adalah suatu jaminan dari Allah s..w.t. yang dapat dilihat dengan jelas dalam firman nya yang bermaksud :

"Yang demikian itu adalah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah dan tidak pula memijak suatu tempat yang membangkitkan kemarahan orang-orang kafir dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amalan soleh. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik dan mereka tidak membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil dan tidak (yang besar) dan tidak melintasi sesuatu lembah melainkan dituliskan bagi mereka (amal soleh pula) kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (at-Taubah : 120 & 121)

v) Aqidah yang salah juga menyingkapkan kepada penganut-penganutnya tentang kezaliman-kezaliman yang merupakan kegelapan di dalam kehidupan manusia dan kezaliman yang paling besar ialah syirik yang juga merupakan lawan kepada tauhid, iaitu intisari kepada aqidah Islamiyyah.

Ini dapat dilihat kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya diwaktu ia memberi pelajaran kepada anaknya : "Hai anakku! Janganlah kamu mempersekutukan Allah, itu adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Luqman : 13)

3. Tuntutan Aqidah

i) Aqidah adalah sesuatu yang tidak boleh seseorang bertolak ansur tentangnya. Ini membuktikan betapa pentingnya persoalan aqidah sehingga daripada sejarah dapat kita mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya telah bersikap begitu terbuka di dalam persoalan budaya, bahasa bahkan dari sudut zahir syariat sekalipun.

Sebagaimana yang kita maklum, bentuk binaan kaabah yang ada kini bukanlah sepertimana yang pernah dibina oleh nabi Allah Ibrahim a.s. seratus peratus, kerana sebahagian daripadanya yang dikenali sebagai "Hatim" atau "Hijr Ismail" itu juga pada asalnya termasuk dalam bagunan kaabah. Tetapi ketika proses pembinaan bangunan kaabah itu oleh masyarakat jahiliyyah, mereka tidak mempunyai wang dari sumber yang benar-benar bersih untuk menyiapkannya seperti asal. Maka mereka meninggalkan bahagian "Hatim" itu dengan hanya membuat lingkungan sahaja dan nabi s.a.w. menyatakan selepas Mekah dikuasai, "sekiranya aku tidak fikir masyarakat ini baru memeluk agama Islam, tentulah aku merobohkannya dan membinanya seperti asal." Tetapi jelas Nabi s.a.w. tidak merobohkannya sampai ke akhir hayat baginda s.a.w dan umat Islam terus menghadap qiblat dalam keadaa itu sampai lah ke hari ini.

Tetapi ketika orang-orang kafir Quraisy meminta supaya nabi s.a.w. bertolak ansur dengan mereka dalam persoalan aqidah iaitu dengan membenarkan mereka menyembah berhala sekian-sekian lama kemudian menyembah Allah pula untuk sekian-sekian lama. NAbi s.a.w. tidak mahu bertolak ansur dengan mereka sehinggalah akhirnya Allah s..w.t. memerintahkan Nabi s.a.w. supaya mengatakan kepada mereka melalui firmannya :

"Bagimulah agama mu dan bagikulah agama ku." (al-Kaafirun : 6)

ii) Aqidah mestilah dijelmakan ke dalm kenyataan melalui dakwah dan segala tindak tanduk, gerak geri dan pertuturan seseorang atau masyarkat yang menganutnya. Itulah gambaran orang muslim yang terbaik yang telah digambarkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud :

"Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada ucapan orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh serta ia berkata - sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam." (Fussilat : 33)

iii) Aqidah adalah sesuatu yang mesti disampaikan kepada orang ramai kerana ia adalah sesuatu yang paling berharga untuk diberikan kepada seseorang di dalam dunia ini. Jesteru orang yang tidak mempunyai aqidah yang betul akan rugi di dunia dan di akhirat dan segala amalannya akan hilang sia-sia sahaja. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

"Dan orang-orang kafir itu amalan mereka tidak ubah seperti fatamorgana di padang yang luas saujana disangka oleh orang yang dahaga sebagai air sampailah ia datang menghampirinya, tidak didapatinya apa-apa di situ." (an-Nur :39)

Dan Nabi s.a.w. bersabda bermaksud :

"Demi sesungguhnya sekiranya Allah s.w.t. memberi petunjuk kepada seseorang dengan sebabmu, itu lebih baik bagi mu dari dunia dan segala isinya." (hadith riwayat Bukhari, Muslim & Ahmad)

iv) Aqidah Islam menuntut kita berdakwah sama ada secara individu atau secara jemaah kerana Islam ialah suatu agama yang memberikan pengharapan kepada manusia biar bagaimana keadaannya sekali pun, siapapun dia, biar bagaimanapun dosa dan kesalahan yg telah dilakukannya ; sebaik sahaja dia memeluk agama islam semuanya akan roboh dan ia akan dikira sebagai seorang yang baru membina kehidupannya sebagai seorang yang suci dan langsung tidak berdosa. Nabi s.a.w. bersabda :

"Sesungguhnya Islam itu merobohkan segala-galanya (dosa) yang pernah dilakukan seseorang sebelum ia menganut agama Islam." (hadith riwayat Muslim - Ahmad)

v) Setiap orang Islam diperintahkan supaya melaksanakan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah di dalam setiap aspek kehidupan semampu mungkin kerana di situlah terletaknya kecemerlangan hidup mereka. Allah s.w.t. berfirman bermaksud :

"Patuhlah kepada Allah (al-Quran) dan patuhlah kepada Rasul (as-Sunnah)" (al-Maidah :92)

4. Halangan dan gangguan terhadap aqidah. Untuk mendapat ketulinan dan keberkesanan dakwah kita perlu mengetahuui apakah pula penghalang-penghalang dan perosak-perosak aqidah itu. Dengan adanya halangan-halangan atau penyakit-penyakit, seseorang Muslim tidak akan merasa kemanisan imannya dan ia tidak merasa terpanggil untuk berdakwah di peringkat serendah-rendahnya sampailah ke peringkat setinggi-tinggi. Antara yang boelh disebutkan di sini adalah seperti berikut :

i) Ajaran-ajaran yang salah

Ajaran-ajaran yang salah atau penyelewengan di dalam persoalan aqidah adalah suatu penyakit yang amat merbahaya kepada umat Islam. ajaran-ajaran yg salah ini sering kali membawa mereka terjerumus ke dalam jurang kezindikan tanpa disedari, iaitu satu jurang dimana mereka merasakan mereka telah benar-benar beriman dan menghayati Islam padahal sebenarnya mereka tidak berada di atas landasan yang sebenarnya.

Antara ajaran-ajaran yang salah yang melanda umat Islam di tanah air kita ialah :

a) Syiah
b) Qadiani
c) Bahai
d) Al-Arqam
e) Ajaran-ajaran tariqat yang salah
f) Aliran-aliran anti hadith dan lan-lain lagi

ii) Fahaman kebendaan

Yang dimaksudkan dengan fahaman kebenadaan yang merupakan penyakit kepada aqidah ini bukanlah fahaman yang membuat kita maju di dalam bidang-bidang kebendaan dan kekayaan tetapi fahaman kebendaan yang dimaksudkan di sini ialah faham kebendaan yang dianggap sebagai pengukur dan penilai kepada sesuatu kebenaran.

Faham kebendaan seperti ini akan membawa seseorang jauh dari kebenaran kerana kebenaran di dalam hidup ini tidak selalunya tegak di atas asas kebendaan. Oleh kerana fahaman yang seperti ini sangat merbahaya maka Allah s.w.t. menggambarkan sebahagian daripada sifat-sifat orang-orang musyrikin Arab yang menolak dakwah nabi s.a.w . Allaah s.w.t. berfirman di dallam al-Quran bermaksud :

"Dan mereka berkata "kami sekali-kali tidak percaya kepada mu, hingga kamu memancarkan mata air daripada bumi untuk kami atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping ke atas kami sebagaimana kamu katakana atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami atau kamu mempunyai sebuah rumah dri emas atau kamu naik ke langit. Begitupun kami tidak sekali-kali akan mempercayai kenaikan mu itu sehingga kamu turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami baca." Katakanlah, "maha suci tuhan ku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?" (al-Isra' : 90-93)

iii) Bid'ah dan Khurafat

Bid'ah dan khurafat merupakan penyakit dan pembantut kepada perkembangan dan pertumbuhan aqidah yang sihat. Ia merubah rupa bentuk agama Islam yang asal dan melahirkan peribadi-peribadi tidak seperti yang pernah dilahirkan oleh nabi s.a.w dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah di zaman permulaan Islam. ia juga memusnahkan imej Islam yang sebenarnya.

Orang-orang yang terlibat di dalam bid'ah dan khurafat akan menganggap sebahagian daripada agama ini segala-galanya dan mereka akan berada di dalam keadaan yang tidak seimbang kerana itulah nabi sa.w. ada bersabda yang bermaksud :

"Tidak diadakan oleh sesuatu golongan satu bid'ah melainkan akan diangkat seumpamanya dari sunnah nabi. Oleh itu berpegang dengan sunnah lebih baik daripada mengadakan bid'ah." (hadith riwayat Ahmad)

Oleh kerana bid'ah itu suatu perkara yang amat merbahaya kepada aqidah umat Islam maka di tempat yang lain baginda bersabda bermaksud :

"Sesiapa yang menghormati ahli bid'ah, sesungguhnya ia membantu merobohkan binaan Islam." (hadith riwayat Baihaqi di dalam "Syu'abu al-Iman)

iii) Pelbagai maksiat

Maksiat-maksiat juga merupakan pengganggu kepada pertumbuhan aqidah. Kerana itu salah satu cara untuk mengalihkan pandangan umat islam yang sentiasa digunakan oleh musuh-musuh Islam ialah dengan memperbanyakkan maksiat.

Maksiat-maksiat yang dilakukan oleh orang islam itu meninggalkan titik-titik hitam di dalam hati mereka yang jika tidak kerana maksiat-maksiat itu, hati mereka bersih bagaikan ceermin yang dapat menerima ajaran al-Quran dan as-Sunnah dengan senang. Kerana itulah ketika orang-orang kafir Quraish mahu menghentikan dakwah Islam yang semangkin berkembang di zaman nabi s.a.w , mereka tidak bersetuju dengan beberapa cadangan yang dikemukakan oleh ahli majlis mesyuarat mereka termasuklah menuduh nabi s.a.w gila, tukang tenun, menghalau baginda s.a.w , membunuh dan lain-lain lagi. Tetapi mereka semuanya bersetuju apabila Nadhir bin al-Harith mencadang kan supaya dibawakan penyanyi-penyanyi, penari-penari dan alat-alat muzik daripada Parsi untuk memikat hati masyarakat dengan hiburan-hiburan seumpama itu dan ternyata mereka telah berjaya juga.

iv) Ta'asub dan Fanatik

Ta'asub dan fanatik juga merupakan satu penghalang besar kepada kemurniaan aqidah dan kecemerlangan dakwah kerana orang-orang yang mempunyai penyakit ini tidak dapat memandang orang lain dengan pandangan hormat apa lagi untuk merestui mereka. Segala yang betul ada di pihaknya dan segala yang tidak betul ada di pihak orang lain.

Ta'asub dan fanatik telah membuatkan umat Islam semenjak dahulu sampai sekarang berpecah belah padahal apa yang dipertahankan itu hanyalah persoalan cabangan atau khilafiyyah shaja bukan menyentuh persoalan aqidah tetapi ia telah menarik sebahagian besar umat Islam ke kancah permusuhan dan kafir mengkafir antara satu sama lain. Untuk mengubati penyakit ini , semestinya kita merujuk kepada sirah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda s.a.w yang mulia. Bagaimanakah sikap terbuka dan tolak ansur yang telah mereka amalkan.

5. Matlamat dakwah

Matlamat dakwah umat Islam ialah untuk melaksanakan tuntutan aqidah Islam itu sendiri. Antara yang dapat disebutkan disini ialah :

i) Menundukkan manusia semuanya kepada Allah s.w.t. supaya seragam dengan alam semesta yang kesemuanya tunduk kepada Allah s.w.t. firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"apakah kamu tiada mengetahui bahawa kepada Allah bersujud apa yang berada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pohon-pohon, binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia." (al-Haj : 18)

ii) Persaudaraan dalam erti kata yang sebenarnya dan seluas-luaasnya, firman Allah s.w.t. bermaksud :

"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka hendaklah kamu perbaiki hubungan antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (al-Hujurat : 10)

iii) mendapat kejernihan jiwa, ketenangan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

iv) Menjamin keamanan dan kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat.

v) Mendaulatkan hukum hakam Allah s.w.t.

vi) Bertimbang rasa dan bertolak ansur di samping saling membantu diantara sesama saudara yang bekerja di jalan dakwah demi menegakkan aqidah Islam yang suci

Penutup

"Ya Allah ! tunjukkanlah kepada kami yang benar itu sebagai benar dan kurniakanlah kepada kami kemampuan untuk mengikutnya dan tunjukkanlah kepada kami yang bathil itu sebagai bathil dan kurniakanlah kepada kami kemampuan untuk menjauhkan diri daripadanya."


Nature for Purity


Ocean is always blue


Wild Life is always the beauty


The World is always Round